SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor.
DARI kiri, Puteri Faten Fatihah dan Nurhidayah.
DARI kiri, Puteri Faten Fatihah dan Nurhidayah.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: “Saya menamatkan pengajian Julai lalu dan memang berhasrat mencari pekerjaan dalam negara. Baru-baru ini, saya mendapat tahu mengenai program SL1M menerusi Facebook (FB) dan tidak mahu melepaskan peluang menghadirinya.

“Saya mengunjungi setiap kaunter disediakan dan mengisi borang permohonan kerja serta menyerahkan resume. Tidak sangka apabila saya diterima oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan berpeluang menjalani latihan selama setahun di sana,” kata Puteri Faten Fatihah Megad Mohd Nizar, 23.

Puteri Faten, antara 16,000 pengunjung menghadiri Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang buat julung kali diadakan di bandar raya ini, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Gadis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari University of Melbourne, Australia yang juga anak kelahiran Kluang, Johor itu tidak berasa kekok apabila hadir mencuba nasib pada program berkenaan.

“Saya terpaksa bersaing dengan pelbagai graduan dan juga peserta yang hadir pada program berkenaan, namun dengan tekad mahu berbakti di negara ini, saya hadir pada program SL1M ini.

“Berkemungkinan mahir berbahasa Inggeris dan juga keputusan akademik yang baik antara faktor menyebabkan saya dipilih menjalani latihan di PNB.

“Apa pun, saya melihat SL1M sebagai usaha murni kerajaan membantu graduan mendapatkan pekerjaan dan juga latihan membabitkan pelbagai peringkat kelulusan,” katanya.

Bagi graduan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Politeknik Metro Kuantan, Nur Hidayah Mohd Yunus, 21, beliau juga tidak melepaskan peluang menghadiri SL1M bagi mencari peluang pekerjaan.

“Saya juga mendapat tahu perkara ini menerusi FB dan difahamkan hampir 10,000 peluang pekerjaan dan latihan ditawarkan kepada graduan dari pelbagai peringkat kelulusan.

“Sedar terpaksa bersaing dengan ribuan graduan dan juga peserta lain, namun ia tidak melunturkan semangat untuk saya mencuba menghantar resume kepada beberapa syarikat berkaitan sektor pelancongan,” katanya yang berasal dari Kota Tinggi.

Sementara itu, Penolong Pengurus Sumber Manusia AEGIS BPO Malaysia Sdn Bhd, Ivy Ng Tze Hui, berkata, graduan perlu memiliki kemahiran komunikasi selain berbahasa Inggeris dengan baik menjadi faktor penting dititikberatkan majikan untuk pengambilan pekerja.

“Kami menerima lebih 340 permohonan daripada peserta bagi mengisi kekosongan pelbagai jawatan antaranya dalam perkhidmatan pelanggan, sokongan teknikal, telepemasaran dan juga perunding pusat pelancongan.

“BPO Malaysia mula beroperasi di negara ini sejak tahun 2014, malah kami juga beroperasi di sembilan negara dengan memiliki 44 pejabat dan hampir 44,000 kakitangan,” katanya.

Eksekutif Sumber Manusia Marrybrown Sdn Bhd, Azlinda Mohd Sharupi berkata, Program Geran Pekerjaan Iskandar Malaysia (IMEG) yang disediakan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut memberi peluang kepada graduan mendapatkan pekerjaan.

“IMEG juga banyak membantu majikan khususnya dari segi faktor kewangan kerana 50 peratus daripada gaji asas mereka yang terpilih dalam program itu dibayar oleh IRDA selama hampir enam bulan.

“Sejak program ini diperkenalkan Mei lalu, kita menerima hampir 50 permohonan dan daripada jumlah itu, lima pemohon mendapat kelulusan IRDA bagi program IMEG,” katanya.

SL1M bantu 93,000 graduan

Johor Bahru: Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berjaya membantu 93,000 graduan secara langsung dan tidak langsung sepanjang pelaksanaannya bermula pada Jun 2011.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata, SL1M membantu graduan tempatan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam mendapatkan pekerjaan.

“Peluang diberikan oleh syarikat kepada graduan muda tempatan amat bermakna dan memberi impak besar dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan berkualiti bagi menggalas tanggungjawab untuk terus membangun dan memajukan negara.

“Bakat muda tempatan harus merebut peluang ditawarkan ini kerana bukan mudah untuk majikan membuka pintu seluas-luasnya kepada pelatih bagi memperbaiki kemahiran diri dan menimba pengalaman bekerja yang begitu luas.

“Melalui latihan SL1M graduan bukan sahaja dapat belajar perkara baru di tempat kerja, malah ilmu dan kemahiran kerja yang diasah ketika menjalani latihan ini dapat memberi nilai tambah kepada graduan tersebut, sekali gus saya yakin mereka akan lebih mudah menjalani proses temu duga dan seterusnya mendapat pekerjaan dengan skala gaji yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan sempena Pelancaran Program Temu Duga Kerjaya SL1M Peringkat Zon Selatan 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor di sini, Rabu lalu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Berhad, Mohd Izani Ashari, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Prof Datuk Ismail Ibrahim, Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz dan Naib Presiden Eksekutif Iskandar Investment Berhad, Mohd Nordin Jamaludin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 11:24 AM