ANGGOTA AADK memeriksa peralatan menagih dadah suspek.
Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Ampang Jaya: Kerap tagih syabu demi memuaskan nafsu gila dan memperolehi tenaga tambahan ketika melakukan hubungan seks songsang dengan lelaki dan wanita.

Itu pengakuan seorang penagih berusia 25 tahun kepada anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejurus ditahan di rumahnya di sini, pagi kelmarin.

Difahamkan keluarga penagih terbabit bertindak menghubungi AADK dan meminta supaya lelaki itu ditahan selepas kerap mengamuk serta memukul kakak kandungnya.

Namun pemeriksaan pada telefon pintar milik penagih itu menemui maklumat mengejutkan apabila lelaki itu gemar melakukan seks luar tabii.

Ia berdasarkan gambar bersama pasangannya selain beberapa mesej perbualan ‘panas’ melalui aplikasi WhatsApp.

Lelaki itu yang pernah dipenjara atas jenayah samun itu mendakwa menjadi penagih dadah selepas terhidu asap syabu milik kawannya sebelum terjebak dengan gejala itu.

Bagaimanapun pemeriksaan di dalam bilik tidurnya mendapati lelaki itu menipu apabila anggota AADK menemui peralatan menagih dadah termasuk ‘dapur’ untuk menghisap syabu.

Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, lelaki itu adalah antara lapan individu berusia 18 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi dijalankan berdasarkan aduan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, rata-rata ahli keluarga penagih mengakui sukar menerima hakikat anak mereka ditahan pihak berkuasa namun tidak mempunyai pilihan lain.

“Selepas memikirkan keadaan anaknya yang ketagihan dadah, mereka pasrah dan mengharapkan anaknya itu mampu berubah selepas menjalani program pemulihan.

“Semua ditahan mengikut Seksyen 3(1)Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 akan dihantar ke Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) untuk program pemulihan,” katanya.

Menurutnya, semua ditahan dalam operasi yang dilakukan serentak di sekitar kawasan kediaman yang dikenal pasti menjadi sarang utama aktiviti penagihan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:53 AM