DARI kiri, Ferdaus menyerahkan kerusi roda kepada Mohd Isa disaksikan Pengasas Yayasan Kanser Malaysia, Mohd Royzilee Mustaffa.
myMetro

Kuala Lumpur: Bagi mengurangkan beban pesakit di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) menyumbangkan 50 kerusi roda bernilai RM18,500 di sini, baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan dikumpul melalui sumbangan dividen diperoleh daripada pendeposit akaun AFFIN Barakah Charity Account-i.

Kerusi roda disumbangkan akan digunakan pesakit di pelbagai wad di HKL seperti wad onkologi, wad pembedahan saraf serta wad am.

Kerusi roda berkenaan diserahkan kepada Ketua Penyelia HKL, Mohd Isa Kasim oleh Naib Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC, Ferdaus Toh Abdullah.

Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC, Nazlee Khalifah berkata, melalui AFFIN Barakah Charity Account-i, pendeposit berpeluang menderma sebahagian peratusan keuntungan atau dividen (atau Hibah) bulanan mereka kepada golongan memerlukan.

“AFFIN Barakah Charity Account-i adalah akaun simpanan Islamik berlandaskan prinsip Wadiah dan memiliki ciri sumbangan amal yang unik.

“Sumbangan oleh pendeposit akan ditolak dan dipindahkan daripada akaun mereka secara automatik setiap bulan,” katanya.

AFFIN ISLAMIC akan mengenal pasti pusat kebajikan terpilih untuk menyumbangkan dana dikumpul.

“Sumbangan daripada AFFIN Barakah Charity Account-i dapat membantu dalam pelbagai cara untuk meringankan beban golongan yang memerlukan di Malaysia.

“Sejak pelancarannya tiga tahun lalu, sejumlah RM94,800 berjaya dikumpul dan dana berkenaan disumbangkan kepada pelbagai organisasi kebajikan untuk membantu dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian serta ubat-ubatan,” katanya.

Selain HKL, dana yang telah dikumpul melalui AFFIN Barakah Charity Account-i turut disumbangkan kepada Persatuan Pesakit Parah Miskin Malaysia, Selangor & Federal Territory Association for Mentally Handicapped, Rumah Kanak-Kanak Taiping, Yayasan Kanser Malaysia, dan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kasih Autisma.

Untuk maklumat lanjut berkenaan AFFIN Barakah Charity Account-i, pelanggan boleh hubungi talian 03-5522 3000, lawati cawangan AFFIN ISLAMIC berdekatan atau layari laman www.affinislamic.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:24 AM