ROSAZURA bersama Nurulelina.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Usianya sudah mencecah 16 tahun namun dia masih seperti bayi yang baru dilahirkan kerana semua keperluan diri yang perlu diuruskan ibu bapa.

Sehingga kini, Nurulelina Natasya Mohd Badli yang menghidap penyakit lembam sejak berusia tiga bulan masih tidak mampu bercakap apatah lagi menyebut perkataan ibu atau ayah yang sudah lama mahu didengari orang tuanya.

Bagaimanapun, bagi ibunya, Rosazura Yusuff, 37, biarpun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), anak sulung daripada enam beradik itu tetap istimewa di hatinya.

Suri rumah itu berkata, Nurulelina Natasya diserang sawan ketika berusia tiga bulan sehingga menyebabkan dia menghidap penyakit lembam.

Katanya, sejak itu, remaja malang itu menjalani kehidupan seperti bayi termasuk masih memakai lampin pakai buang sehingga kini.

“Selain tidak boleh bercakap, semua keperluannya perlu dijaga dengan baik. Saya dan suami, Mohd Badli Mohd Azmi, 37, bergilir menguruskannya termasuk untuk makan dan mandi.

“Disebabkan itu, saya akan sentiasa dengannya 24 jam sehari. Tak boleh berenggang.

“Biarpun berbeza dengan adik-beradiknya yang lain, saya tidak membezakan kasih sayang untuk mereka. Semuanya adalah anak saya, anugerah Allah yang perlu saya jaga sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seribong di sini, semalam.

Rosazura berkata, setiap bulan dia perlu memperuntukkan lebih RM200 untuk keperluan Nurulelina Natasya termasuk membeli lampin pakai buang dan lain-lain keperluan.

Anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjumlah RM120 sebulan.

“Biarpun tidak mencukupi, saya bersyukur menerima bantuan itu kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga. Itu pun dia terpaksa menggunakan lampin bayi saiz paling besar untuk menjimatkan kos,” katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang prihatin boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Rosazura 03018021018153 atau menghubunginya di talian 011-40242625.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 6:28 AM