TUANKU Abdul Halim menyampaikan anugerah kepada Dr Syahrul Imran pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-85.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Mencapai kejayaan bukan sesuatu yang mudah sekali gus menjadi pengalaman berharga yang perlu dilalui penerima Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-85, di sini, semalam.

Dr Syahrul Imran Abu Bakar, 28, mengakui dia kecewa apabila berdepan kegagalan dalam setiap kajian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajian selama tiga tahun dalam program Doktor Falsafah (Sains).

“Walaupun banyak kajian yang dibuat menemui kegagalan, dari situ saya mula belajar dengan menyusun semula strategi serta lebih fokus dengan apa yang dilakukan.

“Saya melakukan kajian dalam bidang kimia dan ada antara kajian saya mengambil masa sehingga enam bulan tetapi tiada hasil namun ia tidak pernah mematahkan semangat, malah terus mencuba lagi,” katanya ditemui selepas Majlis Santapan Diraja di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini.

Dr Syahrul Imran yang turut ditemani isterinya, Nadia Syarani Md Sharif, 28, berkata dia sangat gembira dan teruja dengan anugerah berkenaan atas hasil usaha, pengorbanan serta berkat kesabarannya selama ini.

Pada majlis berkenaan, Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat ke majlis santapan bersama 12 penerima anugerah graduan terbaik.

Sementara itu, penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor, Azwan Abdullah, 25, menganggap kejayaan yang dicapai bukan mudah, malah terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan.

Azwan yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal berkata, tahun akhir pengajiannya antara paling mencabar apabila dilantik menjadi ketua projek sehingga tidak dapat menghadiri kuliah tertentu.

“Saya bukanlah seorang ‘ulat buku’, namun perlu bijak dan melakukan sedaya upaya untuk seimbangkan antara pelajaran serta aktiviti luar kuliah.

“Anugerah ini seperti ganjaran kepada penat lelah diri serta untuk ibu bapa yang banyak memberikan dorongan dan memahami keperluan saya sepanjang tempoh pengajian,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Pada konvokesyen berkenaan, seramai 25,720 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing dan daripada jumlah berkenaan, 13,100 graduan menerima diploma, Ijazah Sarjana Muda (11,097), Diploma Lepasan Ijazah (57), Ijazah Profesional (153), Ijazah Sarjana (1,243) dan Ijazah Doktor Falsafah atau PhD (70).

Program berkenaan bermula semalam hingga 23 November ini, manakala konvokesyen di UiTM Shah Alam II dijadualkan berlangsung bermula semalam hingga 27 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:20 AM