MASTURA bersama Ahmad Dasuki menyerahkan sijil pelepasan hutang PTPTN berserta cek khairat kematian kepada Yeoh.
myMetro

Georgetown: “Saya amat berterima kasih kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di atas berita ini, ” kata ibu saudara mendiang Chin Khoon Sing, mangsa tragedi cangkuk kren yang terjatuh di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 25 Ogos lalu.

Yeoh Ang See, 55, berkata, pihaknya amat berterima kasih apabila PTPTN mengesahkan keseluruhan hutang pinjaman PTPTN Chin ketika pengajian di peringkat diploma dan ijazah berjumlah RM52,141.59 selesai sepenuhnya.

“Saya mewakili seluruh keluarga Chin amat berterima kasih di atas sumbangan khairat kematian yang turut diberikan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyerahan Manfaat Takaful Bagi Peminjam PTPTN di rumahnya di Lebuh Nordin, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN Bahagian Dasar dan Operasi, Mastura Mohd Khalid dan Pengurus Besar PTPTN negeri, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Sementara itu, Mastura berkata, pihaknya hadir untuk menyerahkan manfaat takaful kepada waris Chin dan mengesahkan keseluruhan hutang pinjaman PTPTN ketika pengajiannya selesai sepenuhnya melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful.

Beliau berkata, melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN itu, waris turut menerima sumbangan RM1,500 bagi khairat kematian dan sebagai sebuah agensi pembiaya utama pendidikan tinggi negara, pihaknya amat prihatin mengenai kebajikan peminjam.

Katanya, dalam usaha membantu meringankan beban ditanggung peminjam serta waris peminjam PTPTN, skim itu diberikan dan setiap waris perlu memaklumkan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal supaya PTPTN boleh menguruskan tuntutan.

“PTPTN akan memberikan manfaat takaful serta khairat kematian kepada waris dan bagi peminjam yang sudah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris boleh membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful.

“Borang itu boleh didapati di laman portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my dan sertakan dokumen sokongan ke Pejabat PTPTN di seluruh negara,” katanya.

Mastura berkata, sejak PTPTN ditubuhkan pada 1997 hingga 30 September lalu, seramai 6,421 peminjam membabitkan nilai pinjaman RM99.8 juta menikmati manfaat perlindungan takaful dan pada tahun ini, 425 penuntut dan waris sudah menyelesaikan hutang pinjaman bernilai RM8.6 juta.

Beliau berkata, bagi khairat kematian, seramai 6,409 penuntut atau waris menerima sumbangan bernilai RM7 juta.

“Menerusi konsep perlindungan takaful berkelompok, jumlah prinsipal pinjaman pendidikan yang dikeluarkan PTPTN kepada semua peminjam atau baki prinsipal akan mendapat perlindungan sepenuhnya daripada syarikat pengendali takaful dilantik PTPTN.

“Berkuat kuasa 1 Januari lalu, kiraan potongan sumbangan takaful bagi Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN adalah 59 sen setahun bagi setiap RM1,000 pinjaman dengan mengambil kira pengeluaran pinjaman, tempoh pinjaman dan tempoh bayaran balik ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:25 AM