Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sempena penganjuran Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix 2016 Sirkit 2 di Lukut, di sini, kelmarin, rombongan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) mengunjungi empat beranak yang hidup dalam kedaifan di Taman Pantai Mas bagi menyampaikan sumbangan.

Penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan dan wang tunai itu disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar yang diiringi Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro yang juga Pengerusi Titipan Kasih Othman Mamat.

Ibu tunggal kepada tiga anak, Puteri Idris, 40, berkata, keprihatinan TKHM memberi makna besar buatnya kerana dia baru kehilangan kerja.

Puteri berkata, sumbangan itu sudah pasti membantu menampung keperluan keluarganya sementara dia mendapat pekerjaan baru.

Dia yang dulunya bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar raya berdekatan diberhentikan dua minggu lalu kerana premis berkenaan mahu mengurangkan pekerja.

“Saya kini sedang berusaha mencari kerja dan rumah sewa lain kerana saya perlu keluar dari bilik sewa ini yang disediakan untuk pekerja pasar raya itu. Namun, masalah kewangan menyukarkan saya mencari rumah sewa dan mereka benarkan saya tinggal di sini sehingga hujung tahun ini.

“Saya juga tiada kenderaan jadi saya perlu menaiki bas untuk mencari kerja di sekitar daerah ini. Apabila sudah dapat kerja, saya perlu cari rumah berhampiran untuk memudahkan saya ke tempat kerja,” katanya.

Selain dia, dua anaknya, Umi Nurul Hani Asrul Affendi, 15, dan Mohd Asrul Iman, 13, yang masih bersekolah juga bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan persekolahan.

“Saya memang halang anak saya bekerja kerana mereka masih bersekolah tetapi mereka mahu mencari wang sendiri untuk belanja ke sekolah. Gaji saya hanya cukup untuk bayar sewa dan makan minum kami sekeluarga.

“Selepas pulang dari sekolah, Nurul akan menjaga adik bongsunya Mas Wahida, 11, sementara menunggu saya habis kerja. Selepas itu, dia akan bekerja di kedai makan berhampiran dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam. Iman pula bekerja sebagai pembantu kedai pada waktu pagi kerana dia bersekolah petang,” katanya.

Menurutnya, walaupun menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun kos hidup yang semakin tinggi membuatkan mereka perlu mencari wang untuk menampung perbelanjaan.

Puteri berharap selepas ini dia diterima bekerja dan ada pihak yang sudi membantunya mendapatkan rumah yang sesuai sebagai tempat keluarganya berteduh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 9:02 AM
MUSTAPA (kiri) dan Othman menyampaikan sumbangan kepada keluarga Puteri (tengah).