AZLAN (dua dari kiri) memerhatikan pesakit buah pinggang menggunakan mesin hemodialisis.
Siti Farahiyah Aziz


Petaling Jaya: Media Prima Berhad (MPB) menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menyumbang enam mesin hemodialisis kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), semalam.

Enam mesin yang bernilai RM276,000 itu adalah hasil sumbangan masyarakat dan syarikat korporat bagi membantu meringankan beban dan kerja NKF dalam memberi rawatan kepada pesakit.

Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Korporat MPB, Azlan Abdul Aziz berkata, enam mesin yang diserahkan kepada NKF akan disumbangkan ke pusat rawatan dialisis di Cheras dan Sarawak.

“Dua daripada mesin itu disumbangkan di Cheras manakala empat lagi disumbangkan di pusat dialisis yang akan dibuka di Sarawak.

“Bantuan yang diberikan ini juga sekali gus dapat membantu pesakit NKF yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan dialisis,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis di NKF, semalam.

Menurutnya, pihaknya menggunakan pelbagai saluran yang ada termasuk melalui rangkaian televisyen, radio serta akhbar untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NKF Chua Hong Wee berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak atas sumbangan yang diberi oleh MPB bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan dialisis.

“Setakat ini, NKF mempunyai seramai 1,600 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di 26 pusat dialisis di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 8:45 AM