Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Hutang dalam urusan jual beli dadah dipercayai punca utama pergaduhan dua rakan sehingga seorang daripadanya cedera ditikam dengan lawi ayam di Kampung Bukit Gua, Manek Urai, Kuala Krai, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan gerakan memburu sedang giat dijalankan.

“Suspek dikenali Saifuzaman Che Hasan, 45, (gambar kecil) menghilangkan diri, namun dipercayai masih berada dalam negara.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berhutang dengan suspek berkaitan pembelian dadah sebelum ini dan gagal capai kata sepakat.

“Untuk itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di talian 09-9666222,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Krai dilapor stabil dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Harian Metro Selasa lalu melaporkan seorang lelaki parah ditikam rakannya di Kampung Bukit Gua Manek Urai, kira-kira jam 9 pagi.

Kejadian itu menyebabkan Rozaimi Mt Kasim, 37, mengalami luka sepanjang 15 sentimeter di perut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 8:47 AM