ANGGOTA polis bersama agensi kerajaan membuat serbuan.


Batu Pahat: Kerjasama berterusan antara penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan membolehkan polis daerah ini melakukan 72 serbuan terhadap premis perjudian dalam talian bermula dari 1 Mei hingga 30 September lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, sepanjang operasi selama lima bulan, pihaknya menahan 36 lelaki berusia 20-an hingga 50-an dipercayai penjaga premis perjudian itu untuk siasatan.

Katanya, selain itu, serbuan juga membawa kepada penahanan 136 lelaki dipercayai kaki judi berusia 20-an hingga 50-an.

“Pada masa sama, kami menyita sebanyak 72 komputer dan 763 mesin hiburan keluarga yang diubah suai untuk berjudi, selain merampas wang tunai berjumlah RM31,635 dipercayai hasil perjudian.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara maksimum lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan atas maklumat diberikan orang ramai dan hasil intipan yang dilakukan anggota dan pegawainya.

Katanya, selain itu pihaknya bekerjasama dengan pihak swasta dan agensi kerajaan lain bagi melancarkan operasi membanteras premis perjudian di sekitar Batu Pahat.

“Hasilnya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ) bertindak memotong bekalan elektrik dan air di premis yang masih berdegil dan menjalankan perniagaan berunsur judi walaupun sudah diberikan amaran.

“Dalam tempoh sama, kami sudah melakukan tiga operasi termasuk pembabitan Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Daerah Yong Peng, SAJ dan TNB di sekitar Batu Pahat, Parit Sulong dan Ayer Hitam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:43 AM