SUSPEK dijejaki
myMetro

Ipoh: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai membakar rumah sewanya hingga menyebabkan enam rumah terbakar di Taman Kuan Won Yuen, Jalan Bendahara, Ipoh, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, suspek dipercayai membakar rumah yang disewanya bersama isteri dan tiga anak mereka selepas pasangan itu bergaduh.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, usaha mengesan suspek, Muhamad Safie Mahat, 41, sedang dijalankan selepas siasatan mendapati wujudnya unsur jenayah dalam kebakaran itu.

Katanya, suspek dipercayai membakar rumah disewanya di alamat No A-16 hingga menyebabkan api merebak membakar lima rumah bersebelahan sebelum melarikan diri.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dan polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat menyalurkan kepada polis.

“Empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta Pasir Puteh berjaya mengawal kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki terbabit boleh menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Zulkifli Mahusin di talian 019-4340500.

Keterangan Gambar:

PIX: Suspek yang sedang dikesan polis.

tamat///

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 8:36 AM