Abdul Azeez (lima dari kanan) bersama penerima van jenazah.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Penantian lebih 40 tahun pengurusan Masjid Jamek Bandar Karak, Bentong, Pahang untuk memiliki van jenazah berakhir selepas Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbangkan sebuah kenderaan itu.

Van jenazah dwifungsi bernilai RM127,000 adalah sumbangan sebahagian daripada program zakat tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH.

Masjid Jamek Bandar Karak antara 11 masjid di seluruh negara yang menerima bantuan di bawah Projek Mobiliti TH.

Pengerusi Masjid Jamek Bandar Karak, Jamaludin Tahir, 69, berkata, pihaknya bersyukur harapan pengurusan masjid serta kira-kira 5,000 penduduk untuk memiliki van jenazah sudah tercapai.

Katanya, selama ini pihak masjid menumpang van jenazah dari masjid sekitarnya untuk menguruskan pengebumian ahli kariahnya.

“Kita memang berusaha untuk mendapatkan van jenazah, namun proses berkenaan bukan mudah kerana ada pihak berjanji untuk memberi (sumbangan) tetapi tidak dapat menunaikannya.

“Selama ini, pihak masjid mengeluarkan belanja sendiri sekitar RM200 untuk sewaan kenderaan bagi satu hari jika ada urusan pengebumian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima replika kunci van jenazah itu yang disempurnakan Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Dewan Besar TH, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:05 AM