Jenazah mangsa diusung ke dalam van polis untuk disembahyangkan di IPD Marang.

Marang: Seorang pelajar tingkatan empat yang maut dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Paya Kijing, di sini, kelmarin sempat menunaikan solat berjemaah di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Mangsa, Afiq Asyraf Noor Hafizin, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara yang juga anak kepada anggota Bahagian Trafik IPD Marang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal Yamaha LC135 ditunggangnya merempuh bahagian kanan belakang lori sampah kira-kira jam 10.20 malam.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori sampah yang berhenti untuk memungut sampah.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk di bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Sarjan Noor Hafizin Lot Hassan ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ Kuala Terengganu enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu kerana masih terkejut dengan insiden yang menimpa anak ketujuh daripada 11 beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:01 AM