ANGGOTA bomba membawa pendaki wanita yang cedera akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Irau.
ANGGOTA bomba membawa pendaki wanita yang cedera akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Irau.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Cameron Highlands: Impian seorang wanita untuk menamatkan pendakian di Gunung Irau, di sini, gagal selepas dia dipercayai terjatuh dan cedera di kedua-dua bahagian lututnya.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa, Nuraimisuliana Mohd Ariffin, 32, berjaya dibawa turun anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata, mangsa dipercayai terjatuh di tebing berdekatan ‘check point’ Bonsai sebelum rakannya menghubungi bomba untuk bantuan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 6.26 petang sebelum operasi dimulakan jam 7.41 malam dan berjaya membawa turun mangsa, awal pagi ini.

“Anggota yang tiba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menjalankan operasi membawanya turun sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk menerima rawatan dan operasi tamat jam 9 pagi hari ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:08 AM