PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang menyertai cabutan bertuah.
Amrullah Abdul Karim
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Serendah: Karnival Hartanah Antara Gapi anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berlangsung selama tiga hari, di sini, mendapat sambutan luar biasa pengunjung sekitar daerah ini.

Karnival bermula 28 Oktober lalu hingga kelmarin padat dengan pelbagai pengisian serta aktiviti antaranya klinik bola sepak PKNS FC, tawaran terbuka 129 unit rumah mampu milik Antara Gapi, forum agama, Gapi Hill Run, persembahan serta pameran.

Pengurus Besar PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, karnival diadakan itu bertujuan merapatkan hubungan antara perbadanan itu dengan masyarakat setempat selain mempromosikan produk terkini PKNS yang dibangunkan di kawasan Antara Gapi, Kota Puteri, Bernam Jaya, Kuang dan Rasa.

“Pada karnival ini, PKNS menawarkan rebat sebanyak RM10,000 kepada pembeli projek Cassia dan Azhara di Antara Gapi, Puteri Daffina 2 di Kota Puteri dan Citrina 3 di Bernam Jaya.

“Manakala rebat RM15,000 diberikan kepada pembeli projek komersial PKNS seperti Gapi Avenue 2, 3 dan 4 di Antara Gapi, Perdana Avenue di Kuang Perdana dan I Zone Zurah di Rasa,” katanya selepas majlis penutupan karnival itu.

Pada majlis berkenaan, PKNS turut memberi sumbangan RM5,000 kepada tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Asrama Kasih, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Serendah, Seri Sayang Welfare Home dan Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah.

Noraida berkata, sasaran PKNS meliputi pelbagai kategori pelanggan namun masih memberi fokus kepada rumah mampu milik tanpa meminggirkan pembinaan rumah sederhana tinggi di bawah RM1 juta.

Katanya, sejak tahun 1998 lagi, PKNS sudah membina 1,700 unit rumah di Antara Gapi dan lokasi yang strategik mendorong PKNS merangka lebih banyak projek di kawasan itu.

“Pada 2017, dua lagi projek akan dibina di Antara Gapi iaitu Lavenda sebanyak 96 unit rumah semi D dan 154 unit lagi rumah link dua tingkat,” katanya.

Sebelum itu, Noraida bersama Kontroler Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Azmi Adnan dan Kontroler Pembangunan Wilayah Selatan PKNS, Lokman Abdul Kadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Gapi Hill Run serta cabutan bertuah berupa basikal dan hamper.

Sementara itu, NGO yang menerima sumbangan daripada PKNS turut melahirkan penghargaan di atas keprihatinan perbadanan itu terhadap rumah kebajikan.

Pegawai Tadbir Asrama Kasih YBK, Syaiful Akmal Addanan berkata, dia berbesar hati dengan sumbangan diberikan PKNS.

“Sumbangan ini dapat membantu pihak pentadbiran asrama untuk meneruskan lagi program pembangunan pelajar khususnya dalam pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:26 AM