AB Ghani memeriksa berat minyak masak siap dibungkus di kilang pembungkusan di Pengkalan Kubor.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Taktik seorang pemilik kilang pembungkusan minyak masak yang menunjukkan buku stok pengeluaran minyak masak tanpa transaksi lengkap untuk mengaburi pihak berkuasa dikesan dalam serbuan di Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari, KPDNKK Kelantan menyerbu kilang itu kerana dipercayai turut menjual minyak masak berkenaan ke negara jiran Thailand.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata, serbuan itu dilakukan selepas memperoleh maklumat hasil risikan terhadap kilang terbabit.

Katanya, tindakan pemilik kilang itu yang tidak menyatakan dengan tepat ke mana minyak masak itu di pasarkan di dalam buku stok miliknya itu hampir memperdaya anggota penguat kuasanya.

“Kami menerima maklumat dan aduan daripada orang awam bahawa kilang itu turut menjual minyak masak ke selatan Thailand dan hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas buku stok itu tidak dinyatakan dengan jelas sama ada jual kepada orang ramai atau tidak.

“Buku stok ini dirampas dan akan diaudit secara menyeluruh supaya kita dapat mengetahui bagaimana cara mereka gunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada dikenakan sebarang tindakan,” katanya ketika ditemui di kilang terbabit di Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi yang disertai 15 pengawai KPDNKK pihaknya merampas minyak masak seberat 765 kilogram (kg) yang sudah dibungkus dan 20,650kg di dalam tangki dianggar bernilai RM52,000.

“Semua barang rampasan dianggarkan bernilai hampir RM150,000 termasuk mesin pembungkusan minyak kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan manakala kilang terbabit turut
disita.

“Kes itu disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan denda RM1 juta dan penjara tiga tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, AB Ghani berkata, pihaknya mengadakan kerjasama rapat dengan beberapa agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan Pasukan Polis Marin bagi membanteras aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:32 AM