Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Seorang lelaki tergamak merogol adik perempuan rakannya dalam kereta dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Faris Putera Jafperi, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti keterangan saksi dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.

Tertuduh yang berada dalam kandang tertuduh hanya mampu menundukkan wajahnya.

Hadir sama di mahkamah, ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya yang difahamkan sedang hamil dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun tujuh bulan di dalam sebuah kereta Proton Satria warna kuning di tempat letak kereta di Bandar Satelit, Pasir Tumboh, jam 4.15 pagi pada 2 Februari 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 10:45 AM
ANGGOTA polis mengiringi Muhammad Faris di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam.