GOLONGAN dewasa dan kanak-kanak melakukan kerja pengasingan sisa pepejal kitar semula yang diperoleh di Tapak Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu.
Nur Lela Zulkipli dan Garret Dawum
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dalam sehari, rakyat Malaysia dianggarkan membuang 7,986.47 tan sampah.

Itu data terbaru dicatatkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi tujuh negeri bawah seliaannya setakat Jun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamed Taha berkata, sisa domestik terutama makanan adalah sampah paling banyak dibuang dengan 204,421.13 tan sebulan.

“Makanan paling banyak dibuang bila tiba perayaan dan paling banyak dikutip setakat ini.

“Kajian komposisi sisa isi rumah yang dijalankan pada 2015 oleh SWCorp menunjukkan sisa makanan adalah komposisi tertinggi iaitu 40 peratus daripada sisa pepejal diikuti sisa plastik 14 peratus,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian sama, 15,000 tan sehari makanan yang dibazirkan boleh diberi kepada 11 juta orang untuk tiga kali hidangan sehari dan purata berat satu hidangan setiap orang adalah 0.45 kilogram (kg).

“Daripada jumlah sisa makanan yang dibuang, 20 peratus adalah makanan yang tidak dapat dihabiskan dan seterusnya berlaku pembaziran makanan.

“Sebanyak 80 peratus pula terdiri daripada bahan buangan yang tidak diperlukan sewaktu penyediaan makanan seperti kulit buah, sayur, bawang, bahagian dalaman ikan, ayam dan makanan tamat tempoh,” katanya.

Sementara itu, katanya, pertambahan penduduk, peningkatan taraf sosioekonomi dan perubahan gaya hidup masyarakat adalah faktor utama peningkatan sisa pepejal negara dan perubahan sisa komposisi.

“Pada 2015, kapasiti janaan sisa pepejal domestik di Malaysia mencecah 38,000 tan sehari.

“Kadar ini melepasi jangkaan yang dinyatakan oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) iaitu 30,000 tan menjelang tahun 2020,” katanya.

Menurut Dr Mohd Pauze, senario itu adalah isu besar negara dan menguruskan sisa pepejal secara teratur jika tidak mahu berdepan dengan kerosakan alam sekitar dan peningkatan kos pengurusan sisa pepejal yang akan membebankan negara serta rakyat.

Bagi tujuan meminimumkan penjanaan sisa pepejal harian, katanya, pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) adalah kaedah yang paling berkesan.

“Memandangkan penjanaan sisa pepejal rakyat Malaysia semakin tinggi, 3R diperkenalkan sebagai usaha mengatasi masalah itu.

“Aplikasi 3R dalam kehidupan seharian perlu disegerakan dengan pembelian dan penyediaan makanan yang tepat dapat mengurangkan sisa makanan.

“Selain itu, plastik dan kertas dapat dikurangkan di tapak pelupusan dengan mengasingkannya daripada sisa yang tidak dapat dikitar semula.

“Setakat ini, kadar kitar semula negara adalah 17.5 peratus dan tidak mustahil dapat mencapai tahap 22 peratus pada 2020 seperti yang diinginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 8:55 AM