KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan, kelmarin.
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan, kelmarin.
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Pantang maut sebelum ajal. Itu berlaku apabila seorang lelaki terselamat sekalipun motosikalnya hancur digilis kereta dalam kemalangan di Kilometer 284, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur Nilai, di sini, tengah malam kelmarin.

Sumber berkata, lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka hanya cedera dan menerima rawatan di Hospital Kajang, Selangor.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam, tayar motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa dikatakan pecah menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan.

“Mangsa terjatuh atas jalan dan pada masa sama kereta dari belakang tidak sempat mengelak lalu menggilis motosikal mangsa sejauh beberapa meter.

“Kemalangan turut mengakibatkan kereta berkenaan terbalik. Pemandu kereta yang cedera ringan dikeluarkan orang awam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:03 AM