Mohamed Azmin berbahas di Mesyuarat Ketiga (Bajet) Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-13 di Dewan Negeri Selangor, semalam.
Mohamed Azmin berbahas di Mesyuarat Ketiga (Bajet) Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-13 di Dewan Negeri Selangor, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor ditutup 16 kali akibat pencemaran sungai yang berlaku sehingga bulan ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Elizabeth Wong berkata, 15 kes berlaku di LRA Sungai Semenyih dan satu kes di LRA Sungai Labu, Sepang.

“Tujuh kes pencemaran berlaku di Hulu Langat dan Semenyih antara Januari hingga Februari. Manakala, antara September hingga Oktober, ada tujuh lagi kes sama di Hulu Langat.

“Satu kes pencemaran di Sepang berlaku bulan lalu,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Johan Abdul Aziz (BN- Semenyih) mengenai bilangan kes gangguaan bekalan air akibat pencemaran sungai pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mendakwa pencemaran Sungai Semenyih hingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih ditutup akibat perbuatan sabotaj.

Berikutan itu, Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pada Khamis lalu mencabar Mohamed Azmin mengemukakan bukti sabotaj termasuk bersedia mengiringi Menteri Besar ke balai polis bagi menyerahkan bukti.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata, laporan polis oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tidak menyebut ada unsur sabotaj dalam kes pencemaran air yang menyebabkan penutupan terbaru LRA Semenyih.

Sebaliknya, laporan yang dibuat hanya berkaitan kejadian tumpahan minyak yang mencemarkan Sungai Buah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 9:00 AM