Ahmad Zahid (kiri) mendengar penerangan daripada Ahli Parlimen,Sir Gerald Howarth ketika melawat Parlimen British dalam rangka lawatan kerja di United Kingdom.
BERNAMA

Oxford (United Kingdom): Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ekstremisme, radikalisme dan keganasan bukan saja didorong oleh kesesatan orientasi keagamaan, malah oleh sekular yang tidak kena pada tempatnya, kesukuan dan gabungan kepentingan manusia lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komuniti dunia perlu menggalas tanggungjawab untuk mengislah semula semua elemen trend negatif dengan menangani kedua-dua faktor dalaman dan luaran secara serentak dan dengan bersungguh-sungguh.

“Ekstremisme, radikalisme dan terutamanya keganasan sentiasa dikutuk dalam ajaran dan amalan Islam tradisional. Bagaimanapun, tanggungjawab terhadap ajaran sesat dan tindakan dahsyat minoriti yang sangat kecil daripada sebuah kumpulan tidak harus diletakkan di bahu majoriti yang tidak bersalah.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil tetapi juga akan membayangkan satu bentuk ekstremisme, bahkan keganasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Oxford University di sini, semalam.

Syarahan itu dihadiri cendekiawan dan tetamu undangan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ini secara tidak sengaja menjadi alasan berguna kepada ekstremis sebenar dan pengganas untuk mewajarkan ketidakpercayaan mereka terhadap pendapat majoriti dan undang-undang serta konvensyen antarabangsa dan untuk merekrut ahli baharu mereka di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerja lima hari ke United Kingdom sejak Isnin berkata banyak faktor saling berkait yang membawa kepada ekstremisme, radikalisme, peperangan dan keganasan.

Beliau berkata, dalam dunia globalisasi, kesan radikalisme dan ekstremisme terhadap hubungan dan keselamatan antarabangsa tidak hanya terhad kepada umat Islam tetapi juga kepada mereka yang menganut agama lain dan ideologi sekular, namun ia sering disalahertikan atas nama agama, ideologi, raja, negara, kesucian etnik dan bahasa, bahkan kemanusiaan.

Sambil memberi beberapa contoh untuk membuktikan fakta berhubung punca radikalisme, Ahmad Zahid berkata, Perang Dunia Pertama dan Kedua serta Perang Korea dan Vietnam boleh dikaitkan terutamanya di atas sebab ideologi manakala Tragedi Balkan pula pada asasnya berdasarkan atas alasan etnik-agama.

Beliau berkata, pembunuhan beramai-ramai di negara majoriti Kristian Rwanda sebahagian besarnya didorong oleh fahaman berpuak, Perang Saudara Uganda disebabkan terutamanya oleh agama Kristian radikal, pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Ivory Coast diakibatkan oleh etnik-agama yang dilakukan orang asli dan Kristian.

Bagaimanapun, katanya dunia kini memberi tumpuan kepada pengislahan ektremis Muslim, keganasan dan radikalisme dan fenomena ini memangsakan bukan sahaja orang yang disasarkan secara langsung, tetapi juga umat Islam di seluruh dunia dan menyemarakkan perasaan Islamophobia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 9:59 AM