Pelajar JV Skill tekun mengikuti pengajian dibantu tenaga pengajar manakala gambar bulat, pelajar diajar latihan amali bidang mekatronik.
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Sebanyak RM25,000 diperuntukkan kepada individu yang layak mengikuti pengajian Diploma Teknologi Mekatronik Industri dari Global University Lifelong Learning, California, Amerika Syarikat.

Pengarah JV Skill Training Centre (JV Skill), P Sugumaran berkata, dana berkenaan berbentuk kos pengajian yang diperuntukkan daripada jabatan kerajaan manakala elaun RM500 diberikan kepada pelajar setiap bulan sehingga tamat 21 bulan pengajian.

“Kemasukan terhad kerana 20 pelajar terawal sahaja diberikan dana berkenaan dan peluang ini terbuka kepada anak jati Johor lelaki dan wanita sama ada lepasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang berusia 18 hingga 25 tahun.

“Sepanjang pengajian, mereka diajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 iaitu Perkhidmatan Sokongan Kejuruteraan Automasi Industri dan SKM Tahap 3 iaitu Penyelia Kejuruteraan Automasi Industri sebelum menyambung pengajian diploma berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, bidang teknologi mekatronik industri mendapat permintaan tinggi dalam industri kerana ruang kerja yang luas sebagai juruteknik penyelenggara, mekanikal dan automasi selain juruatur PLC serta tenaga pengajar.

Katanya, antara industri berkenaan termasuk minyak dan gas, penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pereka perkakas elektrik serta teknologi tinggi dalam perkilangan.

“Rata-rata pemegang diploma kelolaan kami mendapat peluang pekerjaan sebaik tamat pengajian dengan tawaran gaji permulaan RM1,800 sebulan atau lebih berdasarkan prestasi masing-masing.

“Pelajar kami diajar menguasai ilmu dalam bidang mekanikal, elektrik, elektronik, komputer dan kawalan, berbanding mereka yang khusus pada satu bidang saja” katanya.

Sugumaran berkata, tempoh kehadiran kursus adalah lima hari seminggu bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang bertempat di JV Skill di Pandan City di sini.

Katanya, JV Skill adalah pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi M Janartan di talian 016-7630581 atau 07-3312225,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 10:15 AM