MAYAT Muhammad Ashraf tercampak ke dalam longkang selepas kemalangan di Jalan Sri Krubong.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut sejurus motosikal ditunggang dirempuh kereta Perodua Myvi dipandu seorang OKU di Jalan Sri Krubong, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, mangsa, Muhammad Ashraf Abdullah, 36, yang cacat sebelah kaki dilaporkan tercampak ke dalam saluran air terletak beberapa meter dari bahu jalan.

Lebih menyayat hati, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan untuk menjemput isterinya Sree Kala Mohd Hamid Anantharaja, 33, dari tempat kerja wanita itu di sebuah kilang di Taman Merdeka, di sini.

Sree Kala berkata, setiap hari Muhammad Ashraf, menjemputnya daripada tempat kerja dan tiba tepat pada jam 6 petang.

“Namun semalam Muhammad Ashraf ke rumah kakak saudaranya untuk membantu memasang mentol lampu.

“Berikutan itu saya langsung tidak syak suami ditimpa kejadian buruk, tetapi semalam (kelmarin) sehingga 7 malam dia masih belum muncul, saya tidak syak perkara buruk kerana dia sudah beritahu akan singgah ke rumah kakak saudaranya.

“Saya hanya tahu suami ditimpa kemalangan selepas dihubungi ahli keluarga, ketika itu sukar untuk saya percaya semua ini. Arwah seorang yang ceria tetapi sejak seminggu lalu dia kelihatan muram. Bila ditanya dia kata tak ada apa-apa masalah,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Melaka, semalam.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu lelaki OKU berusia 45 tahun dalam perjalanan dari arah Taman Merdeka menghala ke Taman Sri Krubong, dipercayai hilang kawalan.

“Akibatnya kereta itu memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan motosikal ditunggang mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:17 AM