SuhaIli ditemani anaknya menyiram air mawar ke pusara Rojali yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Aring 1, pagi semalam.
Maiamalina Mohamed Amin


Gua Musang: “Saya mahu orang yang menganiaya arwah dihukum setimpal dengan apa dilakukannya,” kata Suhaili Shamsudin, 33, isteri penjaga barang binaan yang maut akibat dipukul di Felda Aring 8, di sini, kelmarin.

Suaminya, Allahyarham Rojali Muslim, 29, yang berasal dari Masai, Johor meninggal dunia jam 9.30 pagi di Klinik Kesihatan Aring 1 selepas pulang ke rumah keluarga angkatnya di Felda Aring 2 dalam keadaan cedera sekitar jam 5 pagi.

Menurutnya, Allahyarham sepatutnya pulang ke Johor untuk menemuinya dan anak perempuan mereka Norfika Azwana berusia tujuh tahun.

“Malangnya saya dikejutkan dengan berita kematiannya dan bergegas ke sini bersama keluarga.

“Saya terkejut diberitahu perkara ini dan harap pelaku ditahan serta dihukum,” katanya di Tanah Perkuburan Islam Felda Aring 1, di sini, semalam.

Jenazah Rojali dikebumikan selepas selesai bedah siasat di Hospital Gua Musang, di sini.

Sementara itu, ibu angkat Rojali, Maimunah Mat Din, 63, berkata, Allahyarham tinggal bersamanya di Felda Aring 2 sejak lebih dua tahun lalu kerana bekerja di kawasan pembinaan dekat Felda Aring 8.

“Dia baru seminggu bekerja di tapak itu sebagai penjaga barang binaan. Sebelum ini arwah bekerja di Kilang Sawit Aring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:27 AM