MOHD Khairul berkongsi gembira bersama ibu dan bapanya pada Majlis Konvokesyen ke-12 UTeM, semalam.
MOHD Khairul berkongsi gembira bersama ibu dan bapanya pada Majlis Konvokesyen ke-12 UTeM, semalam.

Melaka: Aktif dalam persatuan, sukan dan pelbagai program di universiti tidak menghalang mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) cemerlang dalam pelajaran, sekali gus menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Mohd Khairul Nizam Suhaimin, 23, berkata, dia memegang lebih 13 jawatan sepanjang menuntut di UTeM selain aktif dalam sukan, namun pengurusan masa yang bijak membolehkannya memberi tumpuan dalam pelajaran.

Katanya, pembabitan secara aktif dalam persatuan serta pelbagai program anjuran universiti turut membantunya membina keyakinan diri.

“Bagi saya, bergiat aktif dalam persatuan dan aktiviti di universiti tidak akan menjejaskan pengajian tetapi cara pengurusan masa perlu betul.

“Pengurusan masa yang betul bukan saja membolehkan seseorang itu cemerlang dalam pengajian, malah menyemai sifat sebagai pemimpin,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Konvokesyen UTeM ke-12, di sini, semalam.

Majlis Konvokesyen disempurnakan Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib.

Menurut Mohd Khairul Nizam, selain pengurusan masa yang betul, ketegasan bapanya, Suhaimin Yasin, 50, dalam mendidiknya sejak kecil turut mendorongnya mencapai kecemerlangan di peringkat universiti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 7:22 AM