PINTU masuk premis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: Rumah pelacuran 24 jam yang diubah suai sepenuhnya menjadi butik menjual pakaian wanita. Manakala pelanggan lelaki hanya perlu berpura-pura memilih pakaian sebelum dibawa melihat puluhan pelacur yang tawarkan.

Itu antara taktik terbaru sindiket pelacuran beroperasi di Jalan OP 1/4 di sini, yang dikesan beroperasi 24 jam sehari tanpa henti.

Kegiatan maksiat itu bagaimanapun dibongkar Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman hasil operasi Ops Noda bermula jam 10 malam kelmarin.

Pegawai Operasi STAGG Bukit Aman Superintendan Mohd Shukri Abdullah berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menahan seramai 10 pelacur warga asing, lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja di premis itu selain tiga pelanggan.

“Sindiket pelacuran itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu. Mereka menggunakan bilik persalinan kedai pakaian di tingkat bawah sebagai pintu masuk ke sarang pelacuran di tingkat satu dan dua bangunan.

“Pelacur yang ditahan membabitkan warga Vietnam, Thailand dan Indonesia berusia 18 hingga 31 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Pihak polis turut merampas wang tunai hampir RM2,000, minyak pelincir dan kondom dalam serbuan itu.

Mohd Shukri berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan media sosial WeChat untuk mempromosikan kegiatan mereka yang beroperasi 24 jam sehari tanpa henti.

“Bagi mengelakkan kegiatan mereka terbongkar, mereka hanya membenarkan pelanggan tetap yang menghubungi melalui WeChat saja masuk ke premis berkenaan.

“Buat masa ini, kami masih menyiasat sama ada pemilik kedai pakaian itu terbabit dengan kegiatan itu. Setiap pelanggan dikehendaki membayar RM150 ke RM180 bagi melanggan pelacur disediakan,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk siasatan mengikut Seksyen 372 dan Seksyen 372 (b) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:11 AM