ABDUL Azeez dan Johan bersama pelajar asnaf seramai 553 orang yang menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang.

Kelana Jaya: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu bimbang berhubung kedudukan kewangan syarikat itu berikutan nilai aset milik TH disahkan melebihi liabiliti ditanggung.

Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Johan Abdullah berkata, nilai aset terkini milik TH melebihi jumlah hutang dan berada dalam kedudukan yang positif.

Menurutnya, pengumuman berhubung pemberian dividen kepada semua pendeposit akan dibuat bulan depan dan berharap orang ramai tidak tertipu dengan khabar angin sesetengah pihak.

“Apa yang boleh saya cakap sekarang, aset kita melebihi liabiliti (hutang) dan berada dalam kedudukan yang sangat positif.

“Jangan risau kepada semua pendeposit, kita akan umum (dividen) penghujung bulan depan,” katanya selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Iqra di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Lembaga Pengarah TH, Datuk Rosni Sohar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani.

Pada majlis penyampaian itu, seramai 553 pelajar daripada 10 sekolah terpilih di daerah Petaling Jaya menerima sumbangan berupa kelengkapan sekolah serta wang tunai.

TH memperuntukkan RM2 juta kepada 4,000 pelajar daripada 178 sekolah seluruh negara dan sumbangan akan diberikan sepanjang bulan ini.

Beliau berkata, walaupun kedudukan ekonomi kini begitu kompetitif dan mencabar, namun TH masih mampu bertahan dan memperoleh keuntungan menerusi pelaburan dibuat.

“Kita masih meneruskan pelaburan di Australia, United Kingdom dan Arab Saudi. Pelaburan itu membabitkan pelbagai jenis sektor termasuk hartanah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez turut memaklumkan TH akan meneruskan subsidi jemaah bagi musim haji akan datang seperti tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:15 AM