PALSU
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Ada individu tertentu dikesan mengambil kesempatan atas populariti jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) untuk membuka akaun palsu di Facebook (FB) menggunakan nama beliau.

Kegiatan itu dikesan Vida Beauty Sdn Bhd apabila mendapati sekurang-kurangnya lima akaun palsu menggunakan nama seakan sama dengan Sayang-Sayang DSV di FB.

Jurucakap Vida Beauty, Mohd Eddy Casmady Che Hussin berkata, kemunculan beberapa akaun palsu itu susulan pengumuman dibuat Datuk Seri Dr Hasmiza Othman ketika konsert Gegar Vaganza mengenai akaun rasmi barunya dengan nama Sayang-Sayang DSV.

“Sehingga kini kami mengesan lima akaun menggunakan nama Sayang-Sayang Datuk Seri Vida, Sayang-Sayang DSV muahh.. muahh, Sayang-Sayang DSV, @Sayang-Sayang DSV dan Sayang-2 DSV.

“Dua daripada akaun ini sudah ditutup manakala tiga lagi masih wujud. Mereka memuat naik gambar dan video original daripada Facebook DSV,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak kisah sekiranya tujuan pihak tertentu membuka akaun berkenaan untuk mempromosikan produk DSV namun perkara yang dibimbangkan ialah apabila mereka menawarkan pelbagai hadiah lumayan sedangkan DSV tidak melakukan sebarang tawaran kepada peminat dan pelanggan.

“Kami simpati dengan peminat dan pelanggan DSV kerana mereka mungkin terkeliru apabila akaun palsu ini menawarkan hadiah. Selain itu dibimbangkan berlaku penipuan membabitkan wang.

“Selain itu, kami dapati terdapat individu tertentu menggunakan nama DSV untuk mewujudkan akaun palsu dan menjualnya kepada peniaga kosmetik lain apabila bilangan ‘Like’ mencecah 100,000,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:11 AM