ANGGOTA penyelamat membantu penduduk berpindah ke pusat pemindahan.
ANGGOTA penyelamat memasang khemah sementara.
ANGGOTA penyelamat memasak daging sebagai latihan bencana.
ANGGOTA penyelamat membantu membawa pulang barang bantuan milik mangsa banjir.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun ini melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam penyediaan pusat pemindahan yang membabitkan pelbagai aspek.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, JKM melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM3 juta kepada semua negeri bagi tujuan kesiapsiagaan pengurusan bencana.

“Peruntukan itu juga termasuk bagi penyediaan keperluan asas mangsa, penggantian stok barangan yang luput tarikh serta pelaksanaan program latihan dan simulasi bencana.

“Selain itu, aspek penambahbaikan juga merangkumi penggunaan bangunan sebagai pusat pemindahan yang diperluaskan kepada tempat lain di bangunan kerajaan seperti pusat latihan, kompleks sukan dan tidak hanya tertumpu kepada bangunan sekolah atau dewan orang ramai sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKM sudah menyenaraikan 73 pusat pemindahan berkapasiti besar, sebanyak 2,131 sekolah yang sesuai berfungsi sebagai pusat pemindahan dan 3,004 dewan orang ramai seperti balai raya dan pusat komuniti yang secara keseluruhannya mampu menampung hampir 1.56 juta mangsa dalam satu masa.

“Turut ditambah baik ialah penyediaan barangan keperluan tambahan bagi tujuan memudahkan urusan di pusat pemindahan.

“JKM juga menyediakan peralatan tambahan seperti 500 kotak kit kecemasan bagi kegunaan di pusat pemindahan, 500 unit pembaca kad bagi tujuan pendaftaran mangsa dengan lebih cepat serta sistematik, dan penambahan 20 unit kontena sebagai depoh mini atau stor bencana di lokasi strategik bagi tujuan penyimpanan barang,” katanya.

Bagi tujuan itu juga, Rohani berkata, JKM menambah dan memastikan stok barangan berada pada tahap yang baik dan mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya untuk tiga hari.

Katanya, stok dan keperluan makanan itu disimpan di lima depoh di Bedong, Kedah, Sungai Buloh, Selangor, Kemumin, Kelantan, Marang, Terengganu dan Muar, Johor.

“Selain itu, JKM juga mewujudkan 96 stor bencana dan 569 pangkalan hadapan bagi menyimpan stok bekalan bencana di lokasi yang strategik dan bersesuaian.

“Sebagai langkah sokongan, JKM juga mengenal pasti beberapa pembekal besar di peringkat negeri seperti TESCO, MyDin dan sebagainya bagi membantu sekiranya stok keperluan khususnya makanan tidak mencukupi,” katanya.

Bagi melancarkan proses persediaan menghadapi banjir, beberapa Jawatankuasa di Pusat Pemindahan diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pendaftaran Mangsa, Jawatankuasa Bekalan Keperluan, Jawatankuasa Makanan, Jawatankuasa Kebersihan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan, Jawatankuasa Aktiviti dan Jawatankuasa Sukarelawan.

Menurut Rohani, jawatankuasa berkenaan turut diberi latihan yang sewajarnya melalui program simulasi yang dijalankan.

“Selain daripada menggembleng tenaga sukarelawan JKM, kementerian juga akan membabitkan kumpulan PERWANI di bawah Jabatan Pembangunan Wanita bagi membantu dalam pengurusan bencana khususnya di peringkat pasca bencana.

“Ini bertujuan mempertingkatkan keupayaan dalam mengurus dan mengendalikan bencana khususnya khidmat bantu di pusat pemindahan iaitu penyediaan urusan pendaftaran, memasak, pengedaran bantuan makanan, pakaian, selimut, tikar dan lain-lain keperluan bencana di samping membantu memudahkan mangsa apabila pulang ke rumah, ” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu kakitangan di lokasi bencana, JKM akan memobilisasi tenaga kerja kakitangan JKM di seluruh negara sekiranya perlu yang akan membabitkan seramai 6,690 kakitangan sedia ada dan 183 kaunselor.

Sementara itu, lebih sejuta anggota sukarelawan berdaftar dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) disediakan bagi menghadapi musim tengkujuh dengan seramai 11,800 orang anggota siap siaga untuk tiga jam pertama.

Bagi bilik operasi APM, sebanyak 102 sudah dikenal pasti di daerah manakala 14 bilik operasi di negeri dan satu di persekutuan.

APM juga menyediakan sebanyak 382 bot, pacuan empat roda berjumlah 141 dan 96 lori membabitkan muatan dua, tiga dan lima tan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:23 AM