Skip this ad x
PETUGAS Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak memasang kelambu berubat di Hospital Gerik yang menempatkan Orang Asli dijangkiti malaria di Pos Kemar.
Balqis Jazimah Zahari


Gerik: Penduduk Orang Asli di Kampung Senangit, Pos Kemar, dekat sini, diselubungi ketakutan dan bimbang untuk keluar rumah berikutan kes malaria yang berlaku di kampung itu serta tiga kampung lain.

Tok Batin Kampung Senangit, Hamdan Adik berkata, mereka terkejut dengan wabak yang menular dan menjangkiti penduduk dalam jumlah yang ramai secara tiba-tiba di kampungnya.

“Kami tidak tahu dari mana punca sebenarnya penyakit malaria itu, jadi penduduk sememangnya trauma dan takut keluar rumah.

“Kebanyakan penduduk terutama wanita mengelak melakukan kerja di luar rumah kerana tidak mahu digigit nyamuk yang mungkin boleh menyebabkan kena penyakit yang menakutkan ini.

“Bagaimanapun, bagi lelaki yang mencari rezeki dengan berkebun, mereka tiada pilihan dan terpaksa keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ketika dihubungi, dia berada di Hospital Gerik berikutan anaknya, Hafizam, 11, turut menghidap penyakit itu.

Sehingga kelmarin, 44 daripada 260 penduduk di kampung berkenaan disahkan positif jangkitan malaria spesies Plasmodium vivax (P. vivax), sekali gus menjadikan kampung berkenaan mencatat jumlah tertinggi.

Enam lagi kes berlaku di Kampung Akei, Kampung Rantau dan Kampung Ralak.

Hamdan berkata, kes malaria kali pertama berlaku di kampung itu dan paling teruk yang dialami membabitkan ramai penduduk dalam masa singkat.

“Sebelum ini, penduduk kampung jarang terkena penyakit, paling tidak beberapa orang yang demam biasa dan penyakit tibi manakala kes denggi pula hanya satu kes enam tahun lalu,” katanya.

Katanya, setakat ini, penduduk kampung belum menerima bantuan lain selain daripada pegawai perubatan membuat pemeriksaan darah, mengedarkan kelambu berubat dan membuat pemantauan setiap rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 10:05 AM