Jaimin menunjukkan gambar operasi penangkapan warga asing pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Selangor, Kompleks PKNS, Shah Alam.
Fuad Hadinata Yaccob

Shah Alam: Berhimpit-himpit dalam rumah sempit sehingga mencecah 20 penghuni antara yang didedahkan pada Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Selangor bersama beberapa agensi lain di Kuala Langat kelmarin.

Pada operasi bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu, 115 warga asing ditahan di beberapa kawasan perumahan sekitar Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Sungai Jarum.

Ketika operasi dijalankan, ada dalam kalangan warga asing terbabit sedang memasak dan berehat selepas pulang daripada kerja, namun gagal melarikan diri selepas kawasan sekitar dikepung.

Penolong Pengarah Imigresen Selangor Jaimin Sumpit berkata, pada operasi itu, pihaknya menyerbu kawasan perumahan dan rumah kedai dihuni warga asing.

“Daripada 200 yang diperiksa, 115 daripadanya ditahan di mana 83 individu didapati tidak memiliki dokumen sah manakala 32 lagi tinggal lebih masa.

“Mereka yang ditahan berusia 16 tahun hingga 45 tahun dan bekerja di sekitar kawasan berkenaan. Mereka sudah tinggal di situ antara lima ke 10 tahun,” katanya ketika ditemui.

Jaimin berkata, daripada 115 yang ditahan, 106 adalah warga Indonesia, Bangladesh dan India masing-masing tiga manakala Pakistan, Myanmar serta Sri Lanka masing-masing seorang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.

“Operasi turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 8:28 AM