TENTERA Myanmar ketika melakukan serangan keatas penduduk Rohingya.
TENTERA Myanmar ketika melakukan serangan keatas penduduk Rohingya.
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) mendesak kerajaan supaya memboikot kerjasama dengan Myanmar sebagai bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan kepada etnik Islam Rohingya.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari berkata, pimpinan kerajaan perlu melakukan sesuatu termasuk memboikot kerjasama dengan negara berkenaan sebagai tanda bantahan kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya.

“Kita juga perlu memboikot kejohanan bola sepak Piala AFF yang kini berlangsung di Myanmar. Ini tindakan yang wajar dilakukan sebagai tanda tekanan dan bantahan kepada Myanmar.

“ASWAJA berharap pucuk pimpinan negara ini dapat memainkan peranan yang sewajarnya dengan bersuara lantang menyatakan bantahan kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, semalam.

Zamihan berkata, siri kekejaman yang dilakukan pihak berkuasa negara itu terhadap Rohingya bukan lagi isu baharu, malah sudah beberapa kali episod duka ini melanda etnik berkenaan.

Beliau berkata, episod kejam itu seolah-olah tidak mendapat perhatian pemimpin dunia lain termasuk negara Islam yang sewajarnya membela serta menyatakan bantahan.

“Kita sememangnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Myanmar sehingga menyebabkan ratusan terkorban termasuk kanak-kanak.

“Dunia tidak seharusnya diam dengan kekejaman ini. Etnik Rohingya yang beragama Islam perlu dibela. Kekejaman ini akan berlarutan jika tiada pihak yang tampil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:07 AM