PERAGUT yang ditahan mempunyai empat rekod jenayah.
PERAGUT yang ditahan mempunyai empat rekod jenayah.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki ditahan orang awam selepas disyaki terbabit dalam kes ragut seorang wanita di Jalan Suria 3, Bandar Seri Alam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, suspek berusia 26 tahun ditahan selepas orang awam yang menyedari kejadian membantu mangsa.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 22 tahun berjalan bersama adik perempuannya berusia 17 tahun sebelum dihampiri suspek.

“Tiba-tiba suspek yang berjalan dari depan terus meragut beg tangan mangsa dan cuba melarikan diri.

“Mangsa sempat mengejar dan melawan semula sebelum orang awam yang menyedari kejadian itu membantu sehingga suspek dapat ditangkap,” katanya.

Beliau berkata, beg tangan mangsa berjaya diperoleh semula.

Katanya, hasil semakan, suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan judi malah ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu mendapati suspek ditangkap orang awam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392, Kanun Keseksaan kerana melakukan samun tanpa senjata dan Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek direman lima hari hingga Selasa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, gambar dan video tangkapan terhadap suspek itu viral di laman sosial Facebook (FB) dan dikongsi di WhatsApp sejak semalam yang mendakwa kejadian itu berlaku di Masai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 6:18 AM