WAKIL Persatuan Bulan Sabit Merah Tehran menjelaskan perkembangan terkini operasi SAR.
WAKIL Persatuan Bulan Sabit Merah Tehran menjelaskan perkembangan terkini operasi SAR.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang ditugaskan mengesan dua rakyat Malaysia yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand, Iran dijangka berdepan kesukaran kerana cuaca diramal tidak baik pada Selasa ini.

Ketua ekspedisi, Rozaimi Mohd Said berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam satu mesyuarat bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Tehran dan Persekutuan Mendaki Gunung Iran yang turut dihadiri wakil kedutaan Malaysia di Iran, semalam.

“Operasi SAR hanya akan disambung sehingga esok (hari ini) kerana cuaca diramal tidak baik bermula Selasa ini.

“Sejak pencarian dilakukan menggunakan helikopter jejak dan tanda dua rakan kami yang hilang belum ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pencarian yang memasuki hari kelima bagi menjejak Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dan Ramli Abd Majid, 44, juga akan diteruskan menggunakan laluan darat.

“Seramai 30 penyelamat akan dihantar menggunakan helikopter hari ini (semalam) jika cuaca baik. Jika angin kencang, mereka akan meneruskan operasi SAR menggunakan laluan darat.

“Penyelamat ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan terdiri daripada empat orang yang akan mencari di bahagian selatan, barat dan timur Gunung Damavand.

“Namun, fokus pencarian masih tertumpu pada bahagian utara pada ketinggian 4,200 meter hingga ke puncak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 8:44 AM