KH Wang (kiri) ketika pelancaran Smart Reader WorldWide vision project official di Sunway Putra Mall.

Kuala Lumpur: Smart Reader Worldwide akan menerbitkan tiga buku cerita hasil karya tiga penulis muda yang juga muridnya menerusi “The Reading Vision Project 2016.”

Tiga cerita terpilih itu ditulis oleh Cier Kish Salazar Signo, 5, berjudul ‘Timmy and The Kite’, karya Eunice Audreyana Lionel Jimbau, 5, berjudul ‘When I grow up...’ dan Kimberly Wong dengan cerita bertajuk ‘Little Angel Called Kimberly’.

Buku berkenaan akan dijual pada harga RM29 di Semenanjung dan RM34 di Sabah dan Sarawak.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Smart Reader Worldwide, Datin Seri Dr KH Wang berkata, pelancaran projek itu bertujuan memupuk kecintaan terhadap budaya membaca dan menulis kalangan generasi muda.

“Dalam era telefon pintar dan tablet, kanak-kanak mesti diteruskan dengan pendedahan terhadap buku cerita yang baik dan tidak dinafikan permintaan terhadap buku berkurangan dalam arus kemajuan teknologi.

“Kami berharap menerusi projek ini ia dapat mengembalikan kecintaan terhadap membaca dan buku,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran “The Reading Vision Project 2016”, di sini, semalam.

Menurutnya, kaedah pengajaran dan pembelajaran adalah salah satu platfom bagi kanak-kanak memupuk pelbagai kemahiran dan bakat serta menjadikan mereka seorang yang cemerlang.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Smart Reader Worldwide Keefe Ong dan Kevan Ong serta Pengurus Bahagian Latihan Smart Reader Worldwide Shamina Krishna.

Sementara itu, Keefe Ong berkata, membaca sangat penting bagi perkembangan minda, imaginasi dan mendorong kanak-kanak meneroka sesuatu yang baru.

Maklumat lanjut mengenai “The Reading Vision Project 2016” boleh mengunjungi mana-mana Smart Reader Kids atau hubungi talian SMARTLine 1-300-88-5555.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:36 AM