Pelajar mendaftar sesi pengambilan Disember Kolej Yayasan Pahang di kampus Tanjung Lumpur, Kuantan, semalam.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kolej Yayasan Pahang (KYP), di sini, yang berstatus pusat pendidikan bertaraf antarabangsa terbaik di pantai timur, menerima kemasukan 1,306 pelajar pada dua sesi pengambilan Mei dan Disember 2016.

Kemudahan pembelajaran selain pinjaman pendidikan yang disediakan Yayasan Pahang menjadi tarikan utama untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih kolej berkenaan.

Pengarah Urusan KYP Datuk Norhishamuddin Yaacob berkata, usaha meletakkan KYP pada kedudukan tertinggi setanding dengan kolej swasta lain di negara ini dilakukan secara berterusan.

Menurutnya, pelajar yang belajar di KYP pasti berpuas hati menikmati pelbagai kemudahan disediakan dan mereka hanya perlu menumpukan kepada usaha mencapai kejayaan diharapkan.

Katanya, sistem pendidikan profesional menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar menjadi pelengkap kehebatan kolej itu yang menyediakan 20 kursus membabitkan enam fakulti dan pusat pengajian umum.

“Pelengkap kepada imej membanggakan KYP adalah dengan adanya kampus berharga RM30 juta di Tanjung Lumpur, di sini, yang mampu menempatkan 5,000 pelajar.

“Saya gembira melihat pertambahan kemasukan pelajar ke KYP setiap tahun. Ini membuktikan kolej milik penuh kerajaan Pahang itu semakin diterima oleh semua bangsa,” katanya selepas meninjau pendaftaran pelajar sesi pengambilan Disember di kampus Tanjung Lumpur di sini, semalam.

Norhishamuddin berkata, seramai 300 pelajar mendaftar semalam berbanding 1,006 pada kemasukan Mei lalu.

Bagi Julia Budi, 18, yang berasal dari Kampung Orang Asli Paya Palong, Temerloh, imej KYP yang terkenal dalam bidang pendidikan mendorong dia memilih untuk melanjutkan pendidikan.

“Saya berbangga berpeluang belajar di KYP yang menyediakan pelbagai kemudahan demi menjamin kejayaan pelajar tanpa mengira bangsa,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam Diploma Perniagaan.

Bagi Rabiatul Adawiyah Ahzahar, 18, KYP menyediakan 20 jurusan sebagai pilihan kepada pelajar bermula di peringkat sijil, diploma dan ijazah.

“Saya memilih bidang Pengurusan Institusi Islam dan peluang melanjutkan pengajian akan digunakan sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan keluarga,” katanya yang berasal dari Jengka 1, Maran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 7:25 AM