Anggota Jabatan Pertanian Kedah menjalankan operasi memusnahkan ulat bulu hitam.
Rahmat Osman


Alor Setar: Penduduk di Kampung Tepi Laut Tebengau, Kuala Kedah, menarik nafas lega susulan tindakan pemusnahan ulat bulu melalui semburan racun khas oleh Jabatan Pertanian negeri, semalam.

Mereka menyifatkan langkah menyembur racun serangga itu bertepatan bagi memusnahkan koloni ulat bulu itu yang secara tiba-tiba dan buat pertama kalinya ‘menyerang’ kampung itu hingga menimbulkan kebimbangan ia boleh mengundang penyakit sampingan.

Operasi pemusnahan besar-besaran itu dilakukan bermula jam 8.30 pagi oleh sembilan pegawai Jabatan Pertanian negeri diketuai Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Emi Faizal Mohd Borham.

Penduduk Rohani Shaari, 57, mengakui berasa lega apabila Jabatan Pertanian membuat semburan racun serangga di kampung itu.

“Sepanjang minggu ini, kami berasa tidak selesa dengan kehadiran ulat ini walaupun tidak menjejaskan orang dewasa, tetapi kita bimbang kepada kanak-kanak.

“Tengkuk cucu saya Nurul Ain Mohd Arif, mengalami gatal dan terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan ubat sapu di selepas terkena ulat bulu itu.

“Saya bimbang jika ulat bulu itu memasuki telinga kanak kanak yang boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Bagi Yunus Saad, 52, dia turut gembira apabila sekitar kawasan itu sudah disembur racun serangga oleh petugas Jabatan Pertanian negeri.

“Saya lega kerana akan mengadakan majlis kenduri esok dan percaya masalah ulat bulu di kampung ini selesai atau beransur selesai. Terima kasih kepada Jabatan Pertanian negeri atas tindakan segera ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 6:32 AM