SULTAN Sharafuddin ketika melawat wad kanak kanak selepas merasmikan Hospital Shah Alam.
Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua hospital di negeri ini dilengkapi sistem pencegahan keselamatan yang efisien dan berfungsi dengan baik bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Baginda bertitah, setiap kemudahan kesihatan di hospital lama perlu diberi perhatian dan penjagaan yang lebih teliti.

“Setiap peralatan yang rosak perlu segera diganti supaya tidak mendatangkan risiko kepada pesakit dan pegawai perubatan.

“Semua pegawai dan kakitangan hospital harus sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan atau situasi kecemasan yang mungkin akan berlaku,” titah baginda ketika merasmikan Hospital Shah Alam di sini, semalam.

Turut berangkat hadir, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Dalam tempoh Januari hingga September lalu, seramai 45,456 pesakit mendaftar di klinik pakar hospital itu manakala Jabatan Kecemasan merekodkan kedatangan seramai 61,674 orang.

Selain 5,062 jumlah kelahiran, seramai 16,439 orang mendapatkan rawatan di wad dan 3,287 pembedahan sudah dijalankan bagi tempoh masa sama.

Sementara itu, Subramaniam berkata, kerajaan merancang beberapa lagi projek lain seperti pembinaan Hospital Tanjung Karang, Pusat Kardiologi Hospital Serdang dan menaik taraf hospital Kajang.

“Keadaan itu membuktikan bahawa kerajaan amat peka dan prihatin terhadap keperluan kemudahan kesihatan rakyat.

“Menerusi pelaksanaan projek itu kelak, saya pasti penduduk Selangor akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:13 AM