ALAS kaki dipercayai terkandung tulisan jawi ketika operasi di sebuah gudang pembekal di Perindustrian Krubong, Melaka.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


Melaka: Sebuah kilang di negara jiran dianggap tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila menggunakan helaian kertas dipercayai diambil daripada buku teks pendidikan agama Islam mengandungi ayat suci al-Quran dan hadis untuk dijadikan pelapik pada bahagian dalam alas kaki dihasilkan.

Apa yang dikesalkan, kertas terbabit turut mengandungi hadis, doa mengambil wuduk dan pelbagai ayat al-Quran yang turut disertakan dengan terjemahan.

Penjualan alas kaki itu ke pasaran negara ini mula mendapat perhatian netizen apabila ada dalam kalangan pembeli memviralkan perkara itu selepas mendapati pelapiknya mengandungi ayat suci al-Quran dan hadis.

Penggunaan kertas mengandungi ayat al-Quran dan hadis itu disedari pembeli berkenaan selepas alas kaki terbabit terkoyak sebelum dia meneliti kandungannya.

Perkara itu mula viral di laman sosial Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu hingga dikritik netizen yang menganggap perbuatan terbabit itu memperlekeh dan tidak menjaga sensitiviti agama Islam.

Perkara itu turut diakui seorang pengguna FB di negeri ini apabila alas kaki sama yang dibeli ibunya turut mempunyai kertas tertera ayat suci al-Quran selepas diperiksa.

Susulan viral itu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan pemeriksaan di gudang di Krubong, 2.30 petang semalam dan merampas 500 helai alas kaki.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, terdahulu, pihaknya bersama pegawai KDN melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya sekitar Melaka Tengah namun penjualan alas kaki itu sudah dihentikan.

“Pada pemeriksaan di gudang pembekal terbabit, kami menemui 500 alas kaki mengandungi ayat suci al-Quran. Sebenarnya alas kaki itu sudah diasingkan pembekal berkenaan kerana tidak mahu timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

“Sebenarnya, kami sudah periksa gudang pembekal ini Februari lalu, pemiliknya diarahkan supaya mengasingkan alas kaki terbabit selepas penjualan produk itu dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, pembekal terbabit mendakwa memperoleh bekalan alas kaki itu daripada sebuah syarikat pengeluar beroperasi di Semarang Tengah, Indonesia, sebelum dipasarkan di negara ini.

Menurutnya, semua alas kaki itu dirampas sebelum dilupuskan oleh KDN mengikut prosedur ditetapkan.

“Kami menghargai kerjasama diberikan pembekal berkenaan kerana tindakan mereka mengelakkan berlaku penyalahgunaan imej agama Islam.

“Pembeli alas kaki itu diminta menyerahkannya kepada JAIM atau pejabat agama daerah untuk dilupuskan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menghina agama Islam.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana boleh menggemparkan fikiran orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:46 AM