(DARI kiri) Anuar, Ali, Ayub dan Boshik diburu polis.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Polis meningkatkan usaha memburu lima lelaki warga Myanmar yang disyaki membunuh rakan senegara dalam kejadian di sebuah kilang papan di Kawasan Perindustrian Senawang di sini, 22 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kelima-lima suspek berusia 30-an melarikan diri sebaik memukul mangsa hingga mati.

Katanya, dalam kejadian 1.30 pagi, mangsa dan semua suspek minum minuman keras bersama-sama sebelum berlaku pertengkaran.

“Akibat gagal mengawal emosi, lima suspek itu memukul kepala mangsa menggunakan kayu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, semalam.

Thiew berkata, pihaknya menjalankan siasatan hampir dua minggu untuk mengenal pasti identiti semua suspek.

“Suspek dikenali sebagai Boshik, Ayub, Anuar, Ali dan Shakir. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka diminta menghubungi IPD Seremban di talian 06-7619999,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, semua suspek pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mereka tidak memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Dalam kes berasingan, Thiew berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an di restoran di Senawang, kerana memiliki lima pistol tiruan, dua senapang buatan sendiri dan 36 peluru, jam 3.30 petang, 21 November lalu.

Katanya, suspek dikehendaki bersabit kes curi dompet.

“Pemeriksaan pada beg sandang milik suspek menemui tiga pistol tiruan dan 15 peluru. Pemeriksaan lanjut di rumahnya menjumpai dua pistol, dua senapang buatan sendiri serta 21 peluru.

“Suspek yang juga peniaga barang antik dalam talian memiliki dua rekod jenayah bersabit kes curi serta tipu. Suspek didakwa di mahkamah hari ini (semalam) mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:46 AM