Suspek penunggang motosikal cedera di kaki kanan terjatuh motosikal selepas rakannya yang membonceng ditembak ketika melarikan diri selepas meragut.
Norizuan Shamsuddin

Petaling Jaya: Seorang peragut cedera dipercayai ditembak pengawal peribadi seorang Datuk ketika dia cuba melarikan diri berhampiran Flat Desa Sepakat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek berusia 21 tahun cedera di bahu kanan selepas ditembak ketika cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama rakannya.

Bagaimanapun rakan suspek cedera di kaki kanan akibat terjatuh dari motosikal.

Sumber berkata, kejadian berlaku sewaktu suspek bersama rakannya cuba meragut rantai leher milik seorang wanita di Bandar Kinrara, di sini.

Katanya, kejadian disedari pengawal peribadi terbabit bersama majikannya yang menaiki kenderaan melalui kawasan berkenaan.

“Pengawal peribadi terbabit mengejar dua suspek terbabit yang menaiki motosikal Yamaha 135LC sebelum melepaskan tembakan ke arah penjenayah terbabit.

“Tembakan itu mengenai suspek bahu kanan pembonceng motosikal dan menyebabkan kenderaan dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan sebelum ditangkap orang awam serta diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian, kedua-dua suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Katanya, pihak polis turut mengambil keterangan daripada individu bergelar Datuk terbabit dan pengawal peribadinya bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan kejadian melepaskan tembakan itu dan siasatan lanjut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 6:11 AM