LEMBU sado jadi tumpuan ramai di MAHA 2016.
Mahaizura Abd Malik

Serdang: Campuran organisma mikro bermanfaat (EM), garam galian serta gula merah antara makanan tambahan yang diberikan kepada lembu hibrid sado untuk menjadikan haiwan itu kekal sihat dan meningkatkan kecekapan sistem pencernaannya.

Itu rahsia dikongsi Yusoff Kastami, 59, bagi memastikan ternakan lembu hibrid sadonya kelihatan sihat dan berotot berbanding spesies lembu lain.

Menurut Yusoff, dia mula menternak spesies lembu baka kacukan antara tempatan dan baka temperat (negara beriklim sejuk) itu sejak 10 tahun lalu selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar memperkenalkan semen beku lembu import baka Belgian Blue bagi menambah baik kualiti genetik ternakan tempatan.

“Selain rumput segar dan dedak, campuran EM, garam galian dan gula merah yang diperam bersama-sama rumput juga bagus untuk tumbesaran, penghasilan daging selain mengurangkan bau najis dan air kencing haiwan itu.

“Saya berminat menternak lembu hibrid sado ini kerana mahu mencuba kelainan kerana kelebihannya menghasilkan daging padat dan lebih banyak (berotot).

“Rasa dagingnya lebih lembut, manis, berwarna kemerahan-merahan dan kurang lemak putih serta tinggi protein,” katanya ketika ditemui di laman veterinar sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Yusoff berkata, sehingga kini dia berjaya menternak kira-kira 40 lembu hibrid sado dan berat pernah direkodkan ialah 1.2 tan pada usia lembu tiga tahun setengah yang dianggarkan berharga RM25,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:39 AM