Sidah dibantu anaknya, Mat Zambri menguruskan suaminya yang terlantar.
myMetro

Alor Setar: “Isteri mana tidak sedih melihat suami yang menjadi tempat menumpang kasih hanya terlantar, malah lebih memilukan hampir seluruh tubuh ditumbuhi sisik akibat masalah kulit kering,” kata Sidah Daud, 74.

Menurut Sidah, selepas tiga kali diserang angin ahmar sejak 12 tahun lalu, keadaan suaminya Majid Hussin, 84 bertambah uzur menyebabkan dia terlantar sejak Mac lalu.

Dugaan bertambah berat apabila seluruh kulit badan bersisik selain luka di belakang badan, lengan, ketiak dan kaki akibat terlalu lama terlantar.

“Selain angin ahmar suami saya menghidap kencing manis, darah tinggi dan parkinson. Selepas diserang angin ahmar, kini kulitnya pula sakit sejak dua bulan lalu.

“Saya juga mengikat sebelah tangan, manakala sebelah tangan lagi dipakaikan sarung bagi mengelakkan dia menggaru kerana badannya sudah dipenuhi luka,” katanya di rumahnya di Kampung Seri Hujung, di sini, semalam.

Sidah berkata, dia memperuntukkan perbelanjaan lebih RM800 sebulan bagi membeli keperluan lampin pakai buang, susu dan ubat.

Katanya, sehingga kini dia buntu memikirkan soal kos perubatan suami dan hanya bergantung harap kepada ehsan anak serta jiran.

“Saya ada empat anak, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing sudah berkeluarga.

“Kini saya tinggal bersama anak kedua Mat Zambri, 44, yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM800 sebulan.

“Wang simpanan juga semakin berkurangan. Dalam sebulan suami memerlukan lapan tin susu mencecah harga RM600 selain lampin pakai buang,” katanya.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantunya, namun berharap lebih ramai menyumbang bagi mengurangkan beban ditanggung.

“Minggu lalu saya memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya berharap permohonan itu diluluskan segera demi kelangsungan hidup suami,” katanya.

Terdahulu, nasib warga emas itu mendapat perhatian Pertubuhan Bantuan Masyarakat Miskin Kedah yang diwakili Pengerusinya S Mohan menghulurkan sumbangan susu, lampin pakai buang dan wang tunai.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mat Zambri Majid di talian 017-5440519/04-7323244.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:56 AM