HASRI dan Rahimah menguruskan Nur Khairunnisa yang terlantar akibat penyakit SLE.
Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my


Kuantan: Hanya doa dan air mata menjadi penawar duka bagi pasangan Hasri Hassan, 43, dan Rahimah Yusof, 39, apabila anak perempuan mereka kini terlantar akibat penyakit kronik yang dihidapi, malah keadaannya juga semakin membimbangkan.

Anak sulung daripada empat beradik, Nur Khairunnisa, 19, disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau kecelaruan imunisasi kira-kira setahun lalu selepas mengalami simptom sering demam dan lenguh sendi.

Kesan penyakit itu, remaja terbabit mengalami penyakit kulit kronik selain kerosakan buah pinggang dan paru-paru, malah selera makan juga terjejas sehingga dia sering muntah dan berat badannya susut mendadak.

Hasri berkata, pada mulanya dia menyangka anaknya menghidap demam denggi dan membawa Nur Khairunnisa melakukan pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), pada September tahun lalu dan keputusan sebenar diperoleh dua bulan selepas itu.

Hasri berkata, dia yang bertugas di sebuah syarikat kontraktor terpaksa berhenti kerja berikutan keadaan anaknya yang semakin membimbangkan selain memerlukan penjagaan rapi termasuk membawanya mendapatkan rawatan di hospital.

Menurutnya, setakat ini dia tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Zakat tetapi ada memohon bantuan daripada Kerajaan Terengganu kira-kira lima bulan lalu, namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:14 AM