DR Abdul Aziz menunjukkan motosikal digunakan suspek pada sidang media, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Ketua penjenayah kumpulan Geng Hairie Subuh yang aktif melakukan rompakan di daerah ini dikesan menggunakan motosikal milik ibunya ketika mencari mangsa.

Suspek utama berusia 19 tahun itu bagaimanapun berjaya dijejaki dan diberkas polis selepas gagal menyamun seorang mangsa bersenjatakan pisau 23 November lalu.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, mangsa berusia 44 tahun dikatakan sedang merokok berhampiran sebuah pasaraya, di sini, sebelum diserang dua individu menaiki motosikal Demak Evo.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina sebelum dipaksa menyerahkan barangan berharga dibawa.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya menyerahkan wang tunai RM800 kepada suspek. Bagaimanapun, kemunculan mendadak seorang lelaki menyebabkan suspek panik dan lari dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan terhadap motosikal berkenaan, polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dikenali sebagai Hairie.

“Suspek adalah dalang utama kumpulan terbabit yang turut dianggotai empat ahli lain termasuk dua remaja bawah umur.

“Suspek dikesan berdasarkan maklumat pada motosikal milik ibunya yang ditinggalkan di lokasi kejadian.

“Hairie ditahan di kediaman di Kampung Baru Kundang, di sini pada 1 Disember lalu bersama empat lagi ahli kumpulan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyerang mangsa terutama warga asing pada waktu awal pagi antara jam 4 dan 6 pagi di sekitar daerah ini, Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Mereka dikesan aktif enam bulan lalu. Hasil tangkapan itu, polis merampas dua motosikal model Demak Evo dan Yamaha Lagenda 110 yang digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan samun.

“Tiga daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methaphetamine, manakala seorang lagi suspek dikehendaki bersabit laporan kes rogol pada tahun 2014,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata serta pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:23 AM