ANGGOTA bomba menyiram air kepada kanak-kanak yang menyertai Majlis Berkhatan 2016 anjuran Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bukit Mertajam: “Sebelum datang ke hospital, dia tidak menunjukkan perasaan takut, sebaliknya kelihatan tenang. Namun, apabila tiba masa untuk dikhatankan, tiba-tiba dia menangis dan menjerit serta cuba bangun dari katil hingga memerlukan bantuan 10 orang dewasa untuk memegangnya kerana saiz badannya yang agak besar,” kata Azimah Yaacob, 52, ibu saudara kepada Aqil Zafran Abdul Rahim, 9.

Azimah ditemui pada Program Majlis Berkhatan 2016 anjuran Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di Bandar Perda, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak menyangka anak saudaranya itu terpaksa dipegang kaki dan tangannya oleh 10 kakitangan hospital bagi menghalangnya bangun dari katil.

“Dia mungkin terlalu takut, malah saya sendiri turut risau melihatnya meronta-ronta tidak mahu dikhatankan.

“Bagaimanapun, selepas 10 minit memujuk, Aqil Zafran akhirnya tenang dan bersetuju untuk berkhatan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang murid tahun empat, Siti Farah Wahida Mazlan, 34, bersyukur selepas anak sulungnya, Muhammad Hafifi Farhan Mohd Hasanudin, 10, selamat dikhatankan.

Menurutnya, anak sulungnya itu sepatutnya dikhatankan pada tahun lalu namun kerana takut, dia menolak dan tempatnya digantikan adiknya, Muhammad Danish Fayyadh, 7.

“Alhamdulillah, akhirnya tercapai hasrat saya dan suami pada tahun ini dia selamat dikhatankan tanpa sebarang masalah.

“Caj dikenakan agak berpatutan hanya RM50 berbanding adiknya yang dikenakan harga jauh lebih mahal di sebuah klinik swasta pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr Abd Aziz Abd Rahman berkata, sempena musim cuti sekolah, pihaknya mengadakan program majlis tradisi tahunan ini dengan kerjasama Masjid Daerah SPT Bandar Perda.

Beliau berkata, program itu turut dimeriahkan dengan aktiviti bersiram oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Perda sebelum 20 kanak-kanak berusia lima tahun ke atas diarak dari masjid ke Hospital Pakar KPJ dengan motosikal berkuasa tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:33 AM