Kontinjen 33 peserta saudara kita menyertai perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat daerah Segamat di Masjid Jamek Segamat.

Segamat: Seramai 33 mualaf atau saudara kita antara 50 kontinjen yang menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Segamat di Dataran Segamat di sini, semalam.

Ariffin Wong Abdullah, 60, berkata dia teruja apabila ditawarkan untuk menyertai perarakan bagi memperingati kelahiran junjungan besar umat Islam itu beberapa minggu lalu.

Ariffin yang memeluk Islam pada 1970 itu berkata, dia mendapat pengalaman baru apabila berjalan sejauh empat kilometer sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW bermula dari Dataran Segamat ke Masjid Jamek Segamat di sini.

“Saya teruja untuk menjayakan perarakan ini sehingga tidak dapat tidur lena beberapa hari menjelang sambutan. Alhamdulillah saya diberi peluang kali ini, sekali gus dapat mengimarahkan hari kelahiran Rasulullah yang menjadi contoh kepada manusia sejagat,” katanya.

Katanya, sebelum memeluk Islam, mendengar ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW bukan sesuatu yang asing kerana pada zaman remajanya, dia sering melihat perarakan Maulidur Rasul di kaca televisyen.

Ketua Kontinjen yang juga kakitangan Pejabat Kadi Daerah Segamat, Mohd Najib Md Suyup, 39, berkata, tawaran menyertai perarakan dibuat berdasarkan rekod yang mendapati seramai 900 mualaf mendaftar setakat Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:34 AM