AHLI keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.
AHLI keluarga memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Isteri bekas Timbalan Pengarang Harian Metro Ali Mansor Aman meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam akibat komplikasi buah pinggang yang dihadapinya sejak beberapa tahun lalu.

Allahyarhamah Sabariah Abdullah disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun selepas dua hari dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan secara tiba-tiba pengsan di rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Menurut Ali Mansor, isterinya yang juga bekas kakitangan The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menghidap masalah buah pinggang sejak dua tahun lalu, namun penyakit itu semakin kronik sejak beberapa hari lalu.

“Sebelum ini, arwah ada menjalani rawatan pintasan jantung dan keadaan kesihatannya beransur pulih, malah tidak menunjukkan sebarang tanda arwah sakit.

“Namun, petang Sabtu lalu arwah ada mengadu sakit di bahagian pinggang sebelum ahli keluarga menghubungi ambulans untuk dibawa ke PPUM untuk rawatan lanjut,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Katanya, hasil perkongsian hidup bersama Allahyarhamah, mereka dikurniakan tiga anak perempuan yang kini berusia 31 hingga 35 tahun dan seorang cucu berusia satu tahun.

Jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid Nurul Yaqin, Kelana Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, di sini, kira-kira jam 6 petang semalam.

Anak bongsu Allahyarhamah, Alia Ali Mansor, 31, berkata, makan malam bersama seluruh keluarga pada 27 November lalu menjadi kenangan terindah bersama ibu yang meraikan hari lahirnya yang ke-31.

“Kami sekeluarga bersama untuk meraikan hari lahir saya yang jatuh pada 28 November dan itu adalah kali terakhir kami makan bersama ibu sebelum ibu menghembuskan nafas terakhirnya hari ini (semalam).

“Arwah tidaklah menunjukkan sebarang tanda sakit, malah pergi secara tiba-tiba dan menghembuskan nafas terakhir di depan semua ahli keluarganya,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:45 AM