ANGGOTA bomba menggerakkan misi SAR di Tasik Loagan Bunut.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Rizal Abdullah


Marudi: Keterujaan sekumpulan enam penuntut universiti swasta di Miri menjalankan kajian mengenai hidupan liar di Taman Negara Loagan, Benut, di sini, berakhir tragedi apabila bot dinaiki mereka karam, malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 11 malam itu menyebabkan dua penuntut warga Nigeria Amate Mohamed, 26, dan rakan senegaranya Emine Imoh Daniel Udoh, 23, lemas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, kedua-dua mangsa lemas ditemui terapung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) masing-masing jam 12.45 tengah hari dan 5.15 petang semalam tidak jauh dari lokasi bot berkenaan karam.

Menurutnya, empat lagi penuntut bersama seorang pemandu bot bagaimanapun berjaya berenang dan menyelamat diri sebelum ditemui orang awam pagi semalam yang kemudiannya memaklumkan kejadian kepada pihak pengurusan taman negara berkenaan.

Beliau berkata, mangsa pertama ditemui terapung berdekatan lokasi kejadian manakala mangsa kedua ditemui di dasar tasik 30 meter dari lokasi bot dilaporkan karam.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada pihak pengurusan Taman Negara berkenaan jam 7.01 pagi tadi (semalam) sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dihantar ke lokasi kejadian.

“Untuk tiba ke lokasi kejadian, pasukan bomba perlu menggunakan jalan darat selama empat jam sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bot selama sejam sebelum tiba di tasik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat diterima daripada mangsa yang terselamat, penuntut terbabit datang ke taman negara berkenaan untuk menjalankan kajian mengenai hidupan liar termasuk buaya.

Katanya, ketika dalam perjalanan menuju ke tapak kajian, bot dinaiki mereka bersama pemandu warga tempatan karam selepas dipukul angin kuat.

“Kejadian itu menyebabkan bot berkenaan karam dan mereka terpaksa berenang bagi menyelamatkan diri. Mayat ditemui di hantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Mangsa yang selamat kini dalam keadaan stabil dan dengan penemuan mangsa terakhir, pasukan bomba menamatkan sepenuhnya operasi petang tadi (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 9:48 AM