NURUL Hana dan Mohd Nassir menunjukkan kek hari jadi yang dijual.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Bachok: Kerana simpati melihat penduduk kampung yang miskin berdiri lama di premisnya seperti ‘berkira-kira’ untuk membeli sebiji kek, seorang peniaga nekad menjual hidangan pencuci mulut itu dengan harga terendah.

Nurul Hana Wahdi Zainuddin, 32, yang mengusahakan kedai kek, Sweet Bakery and Confectionery, di sini sejak 2007 kini menjual kek pelbagai jenis terutama untuk sambutan hari jadi pada harga serendah RM9.90 sebiji.

Dia sebelum itu menjual kek itu pada harga RM15 sebiji, tetapi menurunkan harganya sebanyak RM5.10 sejak tiga minggu lalu untuk membolehkan semua golongan merasa.

Akuinya, sambutan diterima selepas promosi ‘gila-gila’ itu sangat menggalakkan dan lebih memberi kepuasan apabila golongan kurang berkemampuan kini mula mengunjungi premisnya untuk membeli kek terutama untuk meraikan majlis tertentu dengan keluarga.

Untung kecil tidak difikirkan sangat, berbanding kegembiraan golongan itu malah dia sekeluarga menyifatkan mereka menjual sambil melakukan kebajikan.

“Selepas saya menjual dengan harga RM9.90, kami tidak cukup tangan membuat kek kerana perlu menyiapkan tempahan sekurang-kurangnya 1,000 biji sehari.

“Jika dahulu, saya hanya ada tiga pekerja, namun sejak tiga minggu lalu, sudah menambah 32 pembantu yang diberi upah harian untuk siapkan tempahan.

“Ia untuk memastikan semua tempahan pelanggan dapat dipenuhi dan tidak mahu mereka kecewa terutama yang datang dari jauh,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Kemudi, di sini, semalam.

Ibu kepada enam anak itu berkata, sejak memulakan promosi itu juga dia dan pekerjanya tidak bercuti, namun puas hati kerana dapat memenuhi hampir keseluruhan permintaan pelanggan.

Sebelum ini, Nurul Hana dan suami, Mohd Nassir Ali, 39, perlu mencari pelanggan untuk membeli keknya termasuk membuka khemah di pasar pagi atau malam sehingga ke Gua Musang.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila menurunkan harga jualan dan pelanggan sejauh Kuala Besut, Terengganu mencari keknya memaksa dia menempatkan kek di kedai termasuk menjual menerusi 60 ejen di daerah.

“Dengan cara itu memudahkan kerja kami kerana pelanggan yang mahu menikmati 12 jenis kek dihasilkan kami termasuk Tiramisu, Coklat, Keju, Laici, Manggo dan sebagainya boleh membeli dengan ejen yang sah.

“Ejen juga menjual kek dengan harga sama dan hanya mengambil bayaran kos penghantaran kepada pelanggan antara RM3 hingga RM5 serta terpulang kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, melihat pelanggan termasuk mereka yang bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dapat membeli kek, membuatkan hatinya sangat gembira.

Manakala, Mohd Nassir berkata, kedai kek mereka dibuka dari jam 8 pagi hingga 6.30 petang pada setiap hari.

Katanya, kuasa viral di media sosial Facebook juga membantu bisnesnya berkembang dengan pertambahan bilangan tempahan secara mendadak.

“Sebelum ini, hanya 50 biji kek sehari saja yang dijual namun kini bertambah kepada 1,000 biji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:25 AM